Laman Utama


Isu Kesalahan Kata Berdasarkan Pembentukan Perkataan daripada Imbuhan Bahasa Asing




 



PENGENALAN

Pembentukan kata yang melibatkan imbuhan daripada bahasa asing merupakan satu aspek linguistik yang berkembang seiring dengan perubahan sesuatu bahasa. Fenomena ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor yang mendorong penggunaan imbuhan asing dalam komunikasi. Menurut Mohamad Nortaufiq Nor Hashim et al. (2022), bahasa Melayu telah menerima banyak pengaruh daripada bahasa asing seperti Sanskrit, Parsi, Arab, Hindi, Tamil, dan lain-lain. Dalam hal ini, bahasa bersifat dinamik dan mengalami evolusi mengikut keperluan serta interaksi masyarakat.

Apabila sesebuah masyarakat berhubung dengan budaya dan bahasa asing melalui perdagangan, kemajuan teknologi, serta interaksi sosial, pelbagai istilah dan konsep baharu diserap ke dalam bahasa tempatan. Imbuhan daripada bahasa asing seperti awalan, akhiran, dan gabungan suku kata kemudiannya digunakan dalam pembentukan kata baharu. Hal ini turut diperjelaskan oleh Nik Safiah Karim et al. (2015) yang menyatakan bahawa peminjaman imbuhan asing berlaku dalam dua bentuk, sama ada dikekalkan dalam bentuk asal atau diubah suai mengikut sistem tatabahasa Melayu.

Dalam era globalisasi, peminjaman bahasa asing semakin menjadi keperluan, terutamanya dalam bidang ilmu pengetahuan, teknologi, dan budaya. Walau bagaimanapun, kekurangan kesedaran dan pemahaman terhadap penggunaan imbuhan asing telah membawa kepada kesalahan dalam pembentukan kata, terutamanya dalam media cetak dan elektronik pada masa kini.

APA ITU IMBUHAN SANSKRIT ? 😲

Imbuhan daripada bahasa Sanskrit memainkan peranan penting dalam pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Sebagai bahasa klasik India yang kaya dengan istilah berkaitan keagamaan, ilmu pengetahuan, dan falsafah, bahasa Sanskrit telah menyumbangkan banyak kata serta imbuhan yang digunakan dalam bahasa Melayu.

Menurut kajian Zurina Abdullah dan Adi Yasran Abdul Aziz (2020), bahasa Melayu kuno dipercayai menerima pengaruh yang kuat daripada bahasa Sanskrit serta agama Hindu. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh bahasa Sanskrit terhadap bahasa Melayu telah bermula sejak era bahasa Melayu kuno, sekitar abad ke-7 hingga abad ke-13.

Kedatangan pedagang India ke Kepulauan Melayu serta kehadiran sami dan pendeta Hindu serta Buddha yang menyebarkan ajaran mereka kepada penduduk tempatan telah memperkenalkan unsur bahasa Sanskrit ke dalam bahasa Melayu. Seperti yang dinyatakan oleh Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan bahasa Sanskrit dalam bahasa Melayu dapat dikategorikan kepada dua jenis utama, iaitu awalan dan akhiran.

Klik disini mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan Imbuhan Sanskrit

APA ITU IMBUHAN ARAB-PARSI ðŸ˜²

Imbuhan Arab-Parsi merujuk kepada imbuhan atau akar kata yang dipinjam daripada bahasa Arab dan Parsi, yang banyak dipengaruhi oleh agama Islam dan budaya Persia. Secara historis, kedatangan Islam ke alam Melayu, khususnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, telah membawa pengaruh besar terhadap perkembangan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu (Faridah Nazir et al., 2024). Dalam hal ini, banyak perkataan Arab yang dipinjam mengekalkan bentuk asalnya, manakala sebahagian lagi mengalami perubahan agar sesuai dengan sebutan Melayu melalui proses pembentukan kata. Proses ini melibatkan perubahan dari segi ejaan, bunyi, dan makna sesuatu perkataan (Mohd Alwee Yusoff & Mohamad Azrien Mohamed Adnan, 2009).

Selain itu, peminjaman bahasa ini berlaku akibat pertembungan tamadun Arab dan Melayu melalui aktiviti perdagangan serta penyebaran Islam, yang bukan sahaja memperkaya kosa kata bahasa Melayu tetapi juga mempengaruhi budaya serta cara hidup masyarakat. Walaupun begitu, sistem bahasa Arab dan bahasa Melayu mempunyai perbezaan ketara, menyebabkan proses asimilasi imbuhan berlaku dalam skala yang terhad. Secara lebih spesifik, pinjaman imbuhan Arab-Parsi dalam bahasa Melayu terdiri daripada imbuhan awalan seperti bi- serta imbuhan akhiran seperti -wi, -i, -iah, -in, -at, dan -ah. Oleh itu, meskipun penyerapan unsur imbuhan Arab-Parsi dalam bahasa Melayu adalah terhad, ia tetap memberikan kesan yang signifikan terhadap perkembangan dan kemajuan bahasa ini.

Klik di sini untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan Imbuhan Arab-Parsi

APA ITU IMBUHAN YUNANI-LATIN-INGGERIS ðŸ˜²

Proses penambahan imbuhan Yunani, Latin, dan Inggeris dalam pembentukan kata bahasa Melayu mencerminkan pengaruh globalisasi serta perkembangan ilmu dan teknologi. Imbuhan ini merujuk kepada elemen linguistik yang dipinjam daripada bahasa Yunani-Latin-Inggeris, yang sering digunakan dalam bidang sains, perubatan, teknologi, dan budaya moden.

Pada abad ke-18, bahasa Inggeris mula memberi kesan kepada bahasa Melayu, terutamanya di Pulau Pinang sekitar tahun 1786. Pengaruh ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah dasar pentadbiran Inggeris yang mengutamakan penggunaan bahasa mereka dalam sistem pemerintahan. Selain itu, bahasa Inggeris juga menjadi bahasa rasmi pentadbiran, sistem pendidikan Inggeris yang melahirkan ramai penutur bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Melayu, serta peranannya sebagai bahasa antarabangsa.

Selain itu, terdapat usaha untuk menyerap bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu bagi membentuk bahasa yang lebih moden. Menurut Abbas Shariff (1986), peminjaman perkataan atau istilah daripada bahasa Inggeris menjadi satu keperluan, khususnya dalam sektor pendidikan, bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang mengikut arus kemajuan.

Klik disini untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Imbuhan Yunani-Latin-Inggeris

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa penggunaan imbuhan asing dalam Bahasa Melayu memainkan peranan yang sangat signifikan dalam membentuk kata yang tepat dan berkesan dalam komunikasi. Walau bagaimanapun, kesalahan dalam penggunaan imbuhan masih sering ditemukan dalam media cetak dan elektronik. Oleh itu, masyarakat perlu menyedari kesan negatif yang boleh timbul akibat penggunaan imbuhan yang tidak tepat.

Selain itu, penggunaan imbuhan asing yang betul bukan sahaja dapat mengukuhkan struktur bahasa, malah turut memudahkan kefahaman dalam kalangan penutur. Justeru, dengan adanya kesedaran tentang kepentingan penggunaan imbuhan asing yang tepat, masyarakat diharapkan dapat lebih menghargai kepelbagaian imbuhan serta memahami aspek morfologi Bahasa Melayu dengan lebih mendalam.

Kesimpulannya, semakin luas kesedaran ini disebarkan, semakin tinggi kefahaman masyarakat terhadap kepentingan penggunaan imbuhan asing yang betul. Secara tidak langsung, hal ini akan membantu memperkukuhkan mutu penggunaan bahasa kebangsaan kita, iaitu Bahasa Melayu.

RUJUKAN

Penerangan lebih lanjut berkenaan kesalahan perkataan ini boleh dilihat di dalam pautan yang disediakan di bawah ini.

Klik disini mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan Imbuhan Sanskrit

Klik di sini untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan Imbuhan Arab-Parsi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan