Imbuhan Sanskrit







Imbuhan daripada bahasa Sanskrit memainkan peranan penting dalam pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Sebagai bahasa klasik India yang kaya dengan istilah berkaitan keagamaan, ilmu pengetahuan, dan falsafah, bahasa Sanskrit telah menyumbangkan banyak kata serta imbuhan yang digunakan dalam bahasa Melayu.
          Menurut kajian Zurina Abdullah dan Adi Yasran Abdul Aziz (2020), bahasa Melayu kuno dipercayai menerima pengaruh yang kuat daripada bahasa Sanskrit serta agama Hindu. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh bahasa Sanskrit terhadap bahasa Melayu telah bermula sejak era bahasa Melayu kuno, sekitar abad ke-7 hingga abad ke-13.
        Kedatangan pedagang India ke Kepulauan Melayu serta kehadiran sami dan pendeta Hindu serta Buddha yang menyebarkan ajaran mereka kepada penduduk tempatan telah memperkenalkan unsur bahasa Sanskrit ke dalam bahasa Melayu. Seperti yang dinyatakan oleh Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan bahasa Sanskrit dalam bahasa Melayu dapat dikategorikan kepada dua jenis utama, iaitu awalan dan akhiran.


JOM KENAL PASTI KESALAHAN IMBUHAN SANSKRIT! 🤗


Kesalahan Imbuhan Sanskrit dalam Media Cetak 🕮


1.

( Sumber : Buku )

Tata tertib 
Tatatertib ✅

Berdasarkan tangkap layar di atas, kesalahan penggunaan imbuhan pinjaman yang dijumpai ialah ‘tata-tertib’. ‘Tata-tertib’ dianggap salah manakala ‘tatatertib’ dianggap betul kerana dalam bahasa Melayu, imbuhan ‘tata-‘ sepatutnya digabungkan dengan kata asalnya tanpa tanda sempang (-). Jadi, perkataan yang betul ialah ‘tatatertib’. Menurut Faridah Nazir et al. (2024), tata membawa maksud peraturan atau susunan. Oleh itu, perkataan ‘tatatertib’ merujuk kepada aturan atau susunan yang konsisten dan teratur dalam mengatur atau menjalankan sesuatu.
                                               
                                                 2.
(Sumber : Poster )
Anti Rasuah ❌
Antirasuah ✅

Dalam iklan “Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa”, terdapat kesalahan dalam penggunaan imbuhan "anti-", di mana perkataan “anti rasuah” sepatutnya ditulis secara rapat tanpa ruang, iaitu “antirasuah”. Dalam hal ini, Imbuhan awalan "anti-" dalam bahasa Melayu digunakan untuk membentuk kata nama atau kata adjektif yang menunjukkan penentangan terhadap sesuatu perkara. Dalam kes ini, "rasuah" ialah kata nama, jadi imbuhan "anti-" harus digabungkan terus tanpa jarak, menghasilkan "antirasuah".
    Menurut Tatabahasa Dewan (Edisi Keempat) yang disusun oleh Nik Safiah Karim et al. (2015), awalan yang bergabung dengan kata nama perlu ditulis rapat, melainkan jika ia bergabung dengan kata nama khas, yang memerlukan tanda sempang (-).

                                                 3.
 

(Sumber: Poster)
Pasca banjir ❌
Pascabanjir 
 

Dalam poster “Program Belia Prihatin Pasca Banjir”, terdapat kesalahan dalam penggunaan imbuhan “pasca”, di mana perkataan “pasca banjir” sepatutnya ditulis secara rapat tanpa ruang, iaitu “pascabanjir”. Dalam hal ini, imbuhan awalan “pasca-” dalam bahasa Melayu digunakan untuk membentuk kata nama yang membawa maksud ‘sesudah’ atau ‘selepas’. Oleh itu, apabila “pasca” bergabung dengan kata nama biasa seperti “banjir”, ia perlu ditulis tanpa jarak dan tanpa tanda sempang.
    Menurut Tatabahasa Dewan (Edisi Keempat) yang disusun oleh Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan awalan “pasca-” perlu dilekatkan terus dengan kata nama yang mengikutinya. Perkataan “pascabanjir” merujuk kepada keadaan selepas berlakunya banjir, dan ejaan yang betul adalah pascabanjir (bukan pasca banjir).



Kesalahan Imbuhan Sanskrit dalam Media Elektronik🌐


1.



(Sumber : https://x.com/wadafeeqa/status/1364608597481594885?s=46 )

Dunia-wi ❌

Duniawi ✅

Kesalahan yang dapat dikenal pasti dalam tangkapan layar di atas ialah penggunaan perkataan "dunia-wi", yang tidak menepati sistem morfologi bahasa Melayu. Kesilapan utama dalam perkataan ini adalah penyisipan tanda sempang "-" di antara kata dasar "dunia" dan imbuhan "-wi". Dalam sistem bahasa Melayu, imbuhan "-wi" tidak memerlukan tanda sempang kerana ia berfungsi sebagai akhiran yang melekat terus pada kata dasar.
        Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan "-wi" merupakan imbuhan pinjaman daripada bahasa Arab yang berfungsi membentuk kata adjektif. Imbuhan ini biasanya digunakan pada kata dasar yang berakhir dengan huruf vokal untuk mengekalkan kelancaran sebutan. Oleh itu, bentuk yang betul dan diiktiraf dalam bahasa Melayu ialah "duniawi", seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, yang membawa maksud sesuatu yang berkaitan dengan dunia atau keduniaan.

tata susila ❌
tatasusila ✅

Dalam ciapan Twitter yang ditunjukkan, terdapat kesalahan ejaan pada perkataan "tata susila", yang sepatutnya dieja "tatasusila" secara rapat tanpa ruang. Imbuhan awalan "tata-" dalam bahasa Melayu digunakan untuk membentuk kata nama yang berkaitan dengan susunan atau peraturan dalam masyarakat. Menurut Tatabahasa Dewan (Edisi Keempat) oleh Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan "tata-" mesti digabungkan secara rapat dengan perkataan yang mengikutinya untuk membentuk satu istilah yang lengkap.

    Dalam konteks ini, "tatasusila" bermaksud norma dan peraturan kesopanan dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, "tatasusila" ialah istilah yang tepat dan tidak boleh dipisahkan sebagai "tata susila", kerana pemisahan tersebut mengubah bentuk kata menjadi tidak gramatis.

                                                

                                                     3.

Olahraga wati ❌
Olahragawati ✅

Imbuhan -wati digunakan untuk menerbitkan kata nama yang menunjukkan pelaku sesuatu perbuatan, pekerjaan, atau pemilik sifat tertentu bagi wanita. Namun, dalam perkongsian di laman Facebook, terdapat kesalahan ejaan pada perkataan "olahraga wati", yang sepatutnya dieja rapat sebagai "olahragawati". Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan ini harus digabungkan terus dengan kata dasar tanpa jarak bagi memastikan keutuhan makna. Oleh itu, penggunaan yang betul dalam konteks ini adalah "olahragawati", sebagaimana perkataan lain seperti "seniwati" yang merujuk kepada bintang filem wanita. Kesalahan seperti ini sering berlaku dalam media sosial, maka pemahaman tentang peraturan morfologi bahasa Melayu amat penting bagi memastikan ejaan yang betul digunakan dalam penulisan rasmi atau tidak rasmi.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan